Tuesday, March 24, 2009

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Assalamualaikum.

Setiap tahun pada tanggal 12 rabiul awal dan pada tahun ini jatuh pada 9 mac 2009 umat islam khususnya di nusantara akan menyambut maulid nabi. Bila ditanya kepada pakcik-makcik yang menyambutnya maka ia akan kata untuk menunjukkan rasa cinta kepada nabi maka kita kena menyambutnya. Bahkan menjadi aktiviti wajib di malaysia menjalankan perarakan tahunan menyambut maulid nabi. Adakah benar menyambut maulid nabi menzahirkan rasa cinta kita kepada nabi???

Sebelum membahaskan isu cinta kepada nabi ini apa kata kita lihat apakah makna as-sunnah kerana ia begitu senonim dengan sambutan maulid nabi. Al-imam Barbahari dalam syarh as-sunnah pada hal yang pertama menyebut : ”ketahuilah sesungguhnya islam adalah sunnah dan sunnah ialah islam dan masing-masing ia tidak dapat dipisahkan” menurut bahasanya as-sunnah ini ialah tariqah atau sirah yang bermaksud jalan dan dari istilah para ulama’ hadith telah memberi definisinya ialah apa yang disandarkan kepada Rasulullah saw sama ada perbuatan, perkataan, pengakuan, sifat tubuh, sifat akhlak, sama ada sebelum diutuskan, atau selepas diutuskan [1]. Inilah definisi mudah terhadap sunnah. Segala yang disandarkan kepada nabi dan diingatkan sebagai mukmin kita kena memastikan bahawa hadith atau sunnah itu mestilah dishahihkan dahulu kerana takut kita tergolong dalam golongan yang berdusta dengan menggunakan nama nabi. Dan Allah mewajibkan bagi kita memastikan suatu berita itu, firman-NYA “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”[2]. Sabdanya “sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta keatasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di neraka(diriwayatkan secara mutawatir)[3]. Kata Ibn Salah: ”tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekali pun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya[4]. Bahkan sekarang dengan ilmu cetek ini kita kena berusaha memastikan suatu qaul itu mesti shahih khususnya qaul nabi dan jika seseorang hanya bersangka hadith ini shahih tetapi hakikatnya palsu maka itu adalah usahanya untuk menipu nabi. Dan Allah melarang membuat keputusan secara sangkaan ini, firman-NYA “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”[5]. Maka disini jelaslah kepada kita kewajiban kita memastikan kan dahulu suatu hadith atau berita itu shahih dahulu baru menyampaikan kepada khalayak ramai kata Ibn Sirin “Sesungguh Ilmu ini ialah agama. Dan oleh itu perhatikanlah pada siapa kamu semua mengambil agama kamu”[6]. Dan inilah juga salah satu sikap PENCINTA AGAMANYA.

Rasanya kita JUGA perlu megetahui apakah maksud dalam syahadah kita iaitu MUHAMMAD RASULULLAH kerana sebelum kita CINTA mesti KENAL DULU bak pepatah melayu “Tak kenal maka tak cinta”. Kata Dr Mohd Asri “sesiapa yang gagal mencari jawapan persoalan ini (maksud ungkapan Muhammad Rasulullah), sebenarnya dia gagal untuk menjadi seorang mukmin yang sejati. Kegagalan memahami ungkapan ini bererti seseorang itu hanya mengucapkan satu ungkapan tanpa memahami maksudnya. Kalau seseorang itu hanya mengikut tanpa memahami, hal ini sama sekali tidak dapat diterima dalam akidah. Akidah menunutut keyakinan, kepercayaan dan kefahaman terhadap apa yang diucapkan”[7]. Maka maksud Muhammad Rasulullah ialah mempercayai secara tulus Muhammad adalah hamba dan rasul-NYA kepada sekian manusia dan jin. Sebagai saksi (terhadap umat), pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru kepada Allah dengan taufiq yang diberi-NYA; dan sebagai lampu yang menerangi [8]. Wajib menyakini kebenaran baginda dalam semua perkara yang baginda beritahu, sama ada perkara itu telah berlalu, atau yang akan datang. Demikian juga membenarkan apa yang baginda halalkan dan haramkan. Melaksanakan apa yang baginda perintah dan tinggalkan apa yang baginda larang. Mengikuti syariat baginda, beriltizam dengan sunnah baginda ketika sembunyi dan nyata, serta redha apa yang baginda putuskan dan patuh kepada baginda. Sesungguhnya ketaatan kepada baginda adalah ketaatan kepada Allah. Penderhakaan kepada baginda adalah penderhakaan kepada Allah. Ini kerana baginda adalah penyampai risalah Allah. Allah tidak mewafatkan baginda melainkan setelah disempurnakan agama dengan (kedatangan) baginda. Baginda menyampaikannya dengan terang dan nyata. Baginda meninggalkan umatnya di atas jalan lurus lagi terang, malamnya bagaikan siang. Tiada yang menyeleweng daripadanya. Selepas itu melainkan dia seorang yang binasa [9]. Syeikh Muhammad at-Tamimi menyebutkan:”Allah taala mengutuskannya untuk memberikan peringatan perbuatan syirik serta menyeru kepada tauhid. Dalilnya adalah firman-NYA: “Hai orang yang berselimut! Bangunlah, berilah peringatan. Agungkanlah robbmu! Bersihkanlah pakaianmu! Tinggalkan perbuatan kotor! Janganlah kamu memberi dengan tujuan memperoleh balasan yang lebih banyak, bersabarlah untuk (memenuhi perintah) robbmu [al-Muddatstsir, 96:1-7]. Makna ‘Qum, fa andzir’ adalah memberi peringatan terhadap perbuatan syirik serta menyeru kepada tauhid. ‘Wa robbuka fakabbir’ bermaksud agungkanlah Ia dengan tauhid.’Wa tsiyabaka fathohhir’ bermaksud bersihkanlah amal-amal perbuatanmu dari syirik. ‘Warrujza fahjur’ Ar-rujz adalah Al-ashnam (salah satu arti berhala). Yang dimaksud dengan menyingkir dari berhala adalah meninggalkannya serta berlepas diri dari ahli berhala”[10]. Kita juga wajib mempercayai peristiwa Isra’ dan Mikraj seperti yang dikhabarkan di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan baginda telah menyampaikan syariat Allah kepada umatnya tanpa tertinggal walau satu pun. Berkata Syeikh Muhammad al-Tamimi: “Setelah itu, beliau wafat,sedangkan agamanya tetap kekal. Inilah agama beliau; tiada suatu kebaikan pun melainkan telah beliau tunjukkan kepada umat dan tiada suatu keburukan pun melainkan telah beliau peringatkan kepada umat agar dijauhi. ...Allah mengutuskan beliau kepada umat manusia seluruhnya, serta mewajibkan ketaatan atas seluruh jin dan manusia. Dalilnya:”katakanlah wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kalian semua” [al-A’rof,7:158]. Melalui beliau, Allah menyempurnakan agama-Nya. Dalilnya ialah firman Allah:”Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku lengkapkan nikmatKu kepadamu,serta telah Aku ridhoi islam sebagai agama bagimu.”[al-Maidah,5:3][11].
Kita juga mesti beriman bahawa nabi yang terakhir dan tiada lagi nabi sesudahnya ialah nabi Muhammad bin Abdillah. Firman-Nya:”Bukanlah Muhammad itu menjadi bapa bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. Dan ingatlah Allah adalah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”[al-Ahzab,33:40]

[1]Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 39.

[2]al-Hujurat,49:6
[3]Ibn al-Salah, Ulum Al-hadith, Dar Al-Fikr Al-mu’asarah,Beirut,ms 239:Dinukil oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 49.

[4]Ibn Salah, Ulum Al-hadith, Dar Al-Fikr Al-mu’asarah,Beirut, ms 98:Dinukil oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 50.

[5] al-Hujurat,49:12

[6]Riwayat Muslim dalam mukaddimah shahihnya.

[7] Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 11-12.

[8]Petikan dari surah Al-ahzab,45-46.

[9]Al-hakimi,Alam Sunnah Almansyurah Li Ittiqad Al-taifah Al-najiah Al-mansurah,Wizarah Al-syuun Al-islamiyyah, Saudi, ms 15-16: Dinukil oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 13.

[10]Syeikh Muhammad Bin Soleh Al-uthaimeen,Syarh Tsalatsatul Ushul,Susunan: Syeikh Fahd Bin Nashir Bin Ibrohim As-sulaiman,Edisi terjemahan (Syarah Tsalatsatul Ushul:mengenal Allah, Rasul dan Dinul Islam), Al-Qowwam, 2007, ms 197-198.

[11]Syeikh Muhammad Bin Soleh Al-uthaimeen,Syarh Tsalatsatul Ushul,Susunan: Syeikh Fahd Bin Nashir Bin Ibrohim As-sulaiman,Edisi terjemahan (Syarah Tsalatsatul Ushul:mengenal Allah, Rasul dan Dinul Islam), Al-Qowwam, 2007, ms 224-227.
-abu umar- 7.20pm,24/3/09

No comments:

Post a Comment