Wednesday, March 25, 2009

Siri Kaedah Feqah: Segala Perkara Bergantung Kepada Tujuannya

Oleh: Al-Ustaz Abu Umair
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Kaedah 1:

الأمور بمقاصدها

Terjemahan: Segala perkara bergantung kepada tujuannya.

1. Kaedah ini adalah salah satu daripada lima kaedah feqah yang utama yang menjadi tunjang kepada banyak kaedah-kaedah feqah yang lain. Kaedah-kaedah itu dikenali sebagai ‘Al-Qawaed Al-Fiqhiyyah Al-Kubra’. Lima kaedah tersebut ialah:
i- Segala perkara bergantung kepada tujuannya.
ii- Suatu keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak (sangkaan).
iii- Kemudaratan mesti dihapuskan.
iv- Adat dirujuk dalam menentukan hukum.
v- Kesusahan mendatangkan kemudahan.

2. Kaedah ‘Segala perkara bergantung kepada tujuannya’ bersumberkan kepada banyak dalil daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Salah satunya ialah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى

Maksudnya: “Segala amalan berdasarkan kepada niat, dan setiap orang memperoleh apa yang diniatkannya”. Hadis ini direkod dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

3. Hadis ini membawa pengertian yang sangat besar dalam syariat Islam. Imam Bukhari berkata, “Tidak terdapat dalam khabar-khabar (hadis) Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam satu hadis yang lebih mencakupi, lebih mencukupi, dan lebih banyak faedah, daripada hadis ini”. Ramai imam salaf menjulang kedudukan hadis ini dan membuat rumusan bahawa ia adalah satu pertiga daripada ilmu. Antara yang mengatakan demikian ialah Syafie, Ahmad, Ibn Mahdiy, Ibn Al-Madiniy, Abu Daud, dan Al-Daraqutniy.

4. Ketinggian taraf hadis ini secara tidak langsung menunjukkan kepentingan kaedah: “Segala perkara bergantung kepada tujuannya’. Ia juga mencakupi kebanyakan bab dan fasal dalam ilmu feqah.

5. Maksud umum kaedah ini ialah: Segala perkara yang lahir dari seorang mukallaf samada dalam bentuk perbuatan atau pertuturan, maka hukum hakamnya ditentukan berdasarkan maksud dan tujuan dia melakukan atau menuturkannya. Jadi, niat dan maksud seseorang berperanan penting dalam menentukan suatu hukum.

6. Daripada kaedah ini, kita dapat bezakan antara perbuatan yang dilakukan dengan niat, dan perbuatan yang berlaku secara tidak sengaja atau tanpa niat. Hukumnya pun berbeza. Sebagai contoh, dua orang lelaki, A dan B telah melakukan perbuatan membunuh. A sengaja melakukan pembunuhan terhadap orang yang tidak bersalah, manakala B tidak ada niat langsung untuk membunuh, tetapi tersilap sehingga menyebabkan kematian orang lain. Dalam perundangan Islam, hukuman terhadap kedua-duanya A dan B adalah berbeza. Kerana A membunuh dengan niat, manakala B membunuh secara tidak sengaja.

7. Satu perbuatan yang sama tetapi dilakukan dengan tujuan yang berbeza, natijah yang terhasil juga akan berbeza bergantung kepada apa yang diniatkan. Contohnya orang yang berperang dalam barisan tentera Islam, jika bertujuan untuk meninggikan kalimah Allah, maka dia akan mendapat balasan yang baik. Manakala orang yang berperang kerana mahu menunjuk-nunjuk bahawa dia seorang yang berani dan pahlawan, akan mendapat balasan yang buruk. Berbeza balasan disebabkan berbeza tujuan.

8. Niat terbahagi kepada dua jenis;

i- Niat dalam amalan.
Niat dalam amalan berperanan untuk membezakan antara amalan ibadah dengan perlakuan bukan ibadah. Contohnya, seorang yang tidak makan dan minum pada waktu siang. Mungkin dia manahan lapar kerana melakukan diet, atau disebabkan tiada makanan, atau kerana berpuasa. Jadi dengan berniat puasa, dapat dipastikan bahawa perbuatan itu adalah ibadah.

Selain itu, niat juga berperanan membezakan antara ibadah-ibadah. Contohnya, seorang yang berpuasa mungkin tujuannya puasa sunat, atau puasa qadha, atau puasa kaffarah. Jenis puasanya dapat ditentukan melalui niat.

ii- Niat untuk apakah dilakukan amalan.
Maksud niat jenis ini ialah satu-satu perlakuan ibadah adakah dilakukan ikhlas kerana Allah Taala, ataupun dilakukan kerana tujuan lain? Niat inilah yang membezakan antara ikhlas, riyak, sum’ah, dan lain-lain.

9. Niat wadahnya ialah di dalam hati. Demikian menurut sekalian ulama Islam. Oleh itu, seseorang yang meniatkan di dalam hati, tanpa melafazkan dengan lidahnya, maka ia sudah memadai di sisi sekalian ulama.

10. Pengetahuan tentang niat dalam ibadah mesti dipelajari dan difahami secara betul. Kerana kefahaman yang silap tentang konsep niat kadang-kadang menyebabkan kepayahan dalam ibadah. Natijahnya, timbul penyakit waswas yang akan merosakkan ibadah. Benarlah kata-kata sesetengah ulama bahawa punca penyakit waswas ialah kejahilan dalam agama dan kebingungan dalam akal. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada kejahilan dalam agama.

Sekian.
rujuk: http://abuumair1.wordpress.com/2009/03/08/siri-kaedah-feqah-segala-perkara-bergantung-kepada-tujuannya/

No comments:

Post a Comment