Monday, June 28, 2010

Pekerjaan halal, diredai lengkapkan ibadah umat Islam

Pekerjaan halal, redai lengkapkan ibadah umat islam

oleh : Ustaz Abu Abdillah Amiruddin Bin Mohd Sobali

BARU-BARU ini, Perdana Menteri mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sudah mencapai sasarannya. Antara teras bidang itu termasuk usaha meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah supaya mereka lebih selesa mengharungi kehidupan dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar.

Sebagai agama yang syumul dan komprehensif, Islam memberi perhatian dalam soal kerjaya yang menjadi nadi pembangunan ekonomi negara. Bahkan ia teras dalam menjana ibadah dalam kehidupan dunia yang sementara ini. Firman Allah SWT bermaksud: “Apabila solat ditunaikan maka bertebaranlah kamu di atas muka bumi dan carilah kurniaan Allah (rezeki) dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.” (Surah al-Jumu’ah: 10)

Menurut Syed Qutb, ayat ini Allah memerintahkan kita berkerja dan mencari rezeki dengan perniagaan dan sebagainya bagi memenuhi keperluan dan meneruskan kehidupan dengan tidak mengabaikan tanggungjawab mengabdikan diri kepada-Nya. Dalam ayat lain firman Allah yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan bumi itu mudah untuk kamu, maka berjalanlah di segenap penjuru-Nya, serta makanlah daripada rezeki-Nya dan kepada-Nya (Allah) jualah tempat (kembali sesudah) dibangkitkan.” (Surah al-Mulk:15)

Menurut tafsir al-Sa’di, Allah memudahkan bumi ini untuk hamba-Nya memenuhi hajat melalui pertanian dan pembinaan serta dimudahkan mereka sampai ke serata tempat untuk mencari rezeki. Lantaran itu mereka diperintah menerokai merata bumi dan merentasi iklimnya dan menyerahkan urusan rezeki kepada Yang Maha Esa selepas tekun berusaha.

Jelaslah mencari rezeki adalah tuntutan Ilahi. Islam tidak mengehadkan bidang pekerjaan asalkan ia halal dan ia pasti akan membuahkan hasil di dunia dan ganjaran pahala di akhirat kelak dengan izin-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad); bekerjalah kamu, maka Allah dan rasul-Nya serta orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan yang nyata, lalu Dia akan memberitahumu apa yang telah kamu lakukan.” (Surah al-Taubah: 105)

Kata Imam al-Tabari: “Allah memerintahkan hamba-Nya beramal dengan apa yang diredai-Nya dan menunaikan apa yang difardukan ke atas mereka. Semua itu akan dilihat Allah dan insan lain di dunia, dan di akhirat kelak setiap ketaatan mahupun penderhakaan terhadap Allah pasti dihitung.”

Islam menggalakkan umat menceburi bidang pekerjaan yang mulia, dan mencela mereka yang malas berusaha dan meminta-minta.
Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kepada Allah kerana dengan nikmat keamanan yang kita kecapi dan rezeki mudah diperoleh. Tetapi peluang ini disambar pekerja asing yang gigih dan tidak memilih pekerjaan. Lambakan graduan menganggur pasti dapat dielakkan jika ruang pekerjaan diisi mereka sementara mendapat kerja diimpikan. Menjadi buruh binaan, mengambil upah di ladang dan bekerja kilang bukanlah hina dan bertaraf rendah di sisi Allah SWT, bahkan ia mulia kerana memenuhi tuntutan agama.