Wednesday, March 25, 2009

Siri Kaedah Feqah: Segala Perkara Bergantung Kepada Tujuannya

Oleh: Al-Ustaz Abu Umair
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Kaedah 1:

الأمور بمقاصدها

Terjemahan: Segala perkara bergantung kepada tujuannya.

1. Kaedah ini adalah salah satu daripada lima kaedah feqah yang utama yang menjadi tunjang kepada banyak kaedah-kaedah feqah yang lain. Kaedah-kaedah itu dikenali sebagai ‘Al-Qawaed Al-Fiqhiyyah Al-Kubra’. Lima kaedah tersebut ialah:
i- Segala perkara bergantung kepada tujuannya.
ii- Suatu keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak (sangkaan).
iii- Kemudaratan mesti dihapuskan.
iv- Adat dirujuk dalam menentukan hukum.
v- Kesusahan mendatangkan kemudahan.

2. Kaedah ‘Segala perkara bergantung kepada tujuannya’ bersumberkan kepada banyak dalil daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Salah satunya ialah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى

Maksudnya: “Segala amalan berdasarkan kepada niat, dan setiap orang memperoleh apa yang diniatkannya”. Hadis ini direkod dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

3. Hadis ini membawa pengertian yang sangat besar dalam syariat Islam. Imam Bukhari berkata, “Tidak terdapat dalam khabar-khabar (hadis) Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam satu hadis yang lebih mencakupi, lebih mencukupi, dan lebih banyak faedah, daripada hadis ini”. Ramai imam salaf menjulang kedudukan hadis ini dan membuat rumusan bahawa ia adalah satu pertiga daripada ilmu. Antara yang mengatakan demikian ialah Syafie, Ahmad, Ibn Mahdiy, Ibn Al-Madiniy, Abu Daud, dan Al-Daraqutniy.

4. Ketinggian taraf hadis ini secara tidak langsung menunjukkan kepentingan kaedah: “Segala perkara bergantung kepada tujuannya’. Ia juga mencakupi kebanyakan bab dan fasal dalam ilmu feqah.

5. Maksud umum kaedah ini ialah: Segala perkara yang lahir dari seorang mukallaf samada dalam bentuk perbuatan atau pertuturan, maka hukum hakamnya ditentukan berdasarkan maksud dan tujuan dia melakukan atau menuturkannya. Jadi, niat dan maksud seseorang berperanan penting dalam menentukan suatu hukum.

6. Daripada kaedah ini, kita dapat bezakan antara perbuatan yang dilakukan dengan niat, dan perbuatan yang berlaku secara tidak sengaja atau tanpa niat. Hukumnya pun berbeza. Sebagai contoh, dua orang lelaki, A dan B telah melakukan perbuatan membunuh. A sengaja melakukan pembunuhan terhadap orang yang tidak bersalah, manakala B tidak ada niat langsung untuk membunuh, tetapi tersilap sehingga menyebabkan kematian orang lain. Dalam perundangan Islam, hukuman terhadap kedua-duanya A dan B adalah berbeza. Kerana A membunuh dengan niat, manakala B membunuh secara tidak sengaja.

7. Satu perbuatan yang sama tetapi dilakukan dengan tujuan yang berbeza, natijah yang terhasil juga akan berbeza bergantung kepada apa yang diniatkan. Contohnya orang yang berperang dalam barisan tentera Islam, jika bertujuan untuk meninggikan kalimah Allah, maka dia akan mendapat balasan yang baik. Manakala orang yang berperang kerana mahu menunjuk-nunjuk bahawa dia seorang yang berani dan pahlawan, akan mendapat balasan yang buruk. Berbeza balasan disebabkan berbeza tujuan.

8. Niat terbahagi kepada dua jenis;

i- Niat dalam amalan.
Niat dalam amalan berperanan untuk membezakan antara amalan ibadah dengan perlakuan bukan ibadah. Contohnya, seorang yang tidak makan dan minum pada waktu siang. Mungkin dia manahan lapar kerana melakukan diet, atau disebabkan tiada makanan, atau kerana berpuasa. Jadi dengan berniat puasa, dapat dipastikan bahawa perbuatan itu adalah ibadah.

Selain itu, niat juga berperanan membezakan antara ibadah-ibadah. Contohnya, seorang yang berpuasa mungkin tujuannya puasa sunat, atau puasa qadha, atau puasa kaffarah. Jenis puasanya dapat ditentukan melalui niat.

ii- Niat untuk apakah dilakukan amalan.
Maksud niat jenis ini ialah satu-satu perlakuan ibadah adakah dilakukan ikhlas kerana Allah Taala, ataupun dilakukan kerana tujuan lain? Niat inilah yang membezakan antara ikhlas, riyak, sum’ah, dan lain-lain.

9. Niat wadahnya ialah di dalam hati. Demikian menurut sekalian ulama Islam. Oleh itu, seseorang yang meniatkan di dalam hati, tanpa melafazkan dengan lidahnya, maka ia sudah memadai di sisi sekalian ulama.

10. Pengetahuan tentang niat dalam ibadah mesti dipelajari dan difahami secara betul. Kerana kefahaman yang silap tentang konsep niat kadang-kadang menyebabkan kepayahan dalam ibadah. Natijahnya, timbul penyakit waswas yang akan merosakkan ibadah. Benarlah kata-kata sesetengah ulama bahawa punca penyakit waswas ialah kejahilan dalam agama dan kebingungan dalam akal. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada kejahilan dalam agama.

Sekian.
rujuk: http://abuumair1.wordpress.com/2009/03/08/siri-kaedah-feqah-segala-perkara-bergantung-kepada-tujuannya/

Tuesday, March 24, 2009

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Assalamualaikum.

Setiap tahun pada tanggal 12 rabiul awal dan pada tahun ini jatuh pada 9 mac 2009 umat islam khususnya di nusantara akan menyambut maulid nabi. Bila ditanya kepada pakcik-makcik yang menyambutnya maka ia akan kata untuk menunjukkan rasa cinta kepada nabi maka kita kena menyambutnya. Bahkan menjadi aktiviti wajib di malaysia menjalankan perarakan tahunan menyambut maulid nabi. Adakah benar menyambut maulid nabi menzahirkan rasa cinta kita kepada nabi???

Sebelum membahaskan isu cinta kepada nabi ini apa kata kita lihat apakah makna as-sunnah kerana ia begitu senonim dengan sambutan maulid nabi. Al-imam Barbahari dalam syarh as-sunnah pada hal yang pertama menyebut : ”ketahuilah sesungguhnya islam adalah sunnah dan sunnah ialah islam dan masing-masing ia tidak dapat dipisahkan” menurut bahasanya as-sunnah ini ialah tariqah atau sirah yang bermaksud jalan dan dari istilah para ulama’ hadith telah memberi definisinya ialah apa yang disandarkan kepada Rasulullah saw sama ada perbuatan, perkataan, pengakuan, sifat tubuh, sifat akhlak, sama ada sebelum diutuskan, atau selepas diutuskan [1]. Inilah definisi mudah terhadap sunnah. Segala yang disandarkan kepada nabi dan diingatkan sebagai mukmin kita kena memastikan bahawa hadith atau sunnah itu mestilah dishahihkan dahulu kerana takut kita tergolong dalam golongan yang berdusta dengan menggunakan nama nabi. Dan Allah mewajibkan bagi kita memastikan suatu berita itu, firman-NYA “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”[2]. Sabdanya “sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta keatasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di neraka(diriwayatkan secara mutawatir)[3]. Kata Ibn Salah: ”tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekali pun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya[4]. Bahkan sekarang dengan ilmu cetek ini kita kena berusaha memastikan suatu qaul itu mesti shahih khususnya qaul nabi dan jika seseorang hanya bersangka hadith ini shahih tetapi hakikatnya palsu maka itu adalah usahanya untuk menipu nabi. Dan Allah melarang membuat keputusan secara sangkaan ini, firman-NYA “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”[5]. Maka disini jelaslah kepada kita kewajiban kita memastikan kan dahulu suatu hadith atau berita itu shahih dahulu baru menyampaikan kepada khalayak ramai kata Ibn Sirin “Sesungguh Ilmu ini ialah agama. Dan oleh itu perhatikanlah pada siapa kamu semua mengambil agama kamu”[6]. Dan inilah juga salah satu sikap PENCINTA AGAMANYA.

Rasanya kita JUGA perlu megetahui apakah maksud dalam syahadah kita iaitu MUHAMMAD RASULULLAH kerana sebelum kita CINTA mesti KENAL DULU bak pepatah melayu “Tak kenal maka tak cinta”. Kata Dr Mohd Asri “sesiapa yang gagal mencari jawapan persoalan ini (maksud ungkapan Muhammad Rasulullah), sebenarnya dia gagal untuk menjadi seorang mukmin yang sejati. Kegagalan memahami ungkapan ini bererti seseorang itu hanya mengucapkan satu ungkapan tanpa memahami maksudnya. Kalau seseorang itu hanya mengikut tanpa memahami, hal ini sama sekali tidak dapat diterima dalam akidah. Akidah menunutut keyakinan, kepercayaan dan kefahaman terhadap apa yang diucapkan”[7]. Maka maksud Muhammad Rasulullah ialah mempercayai secara tulus Muhammad adalah hamba dan rasul-NYA kepada sekian manusia dan jin. Sebagai saksi (terhadap umat), pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru kepada Allah dengan taufiq yang diberi-NYA; dan sebagai lampu yang menerangi [8]. Wajib menyakini kebenaran baginda dalam semua perkara yang baginda beritahu, sama ada perkara itu telah berlalu, atau yang akan datang. Demikian juga membenarkan apa yang baginda halalkan dan haramkan. Melaksanakan apa yang baginda perintah dan tinggalkan apa yang baginda larang. Mengikuti syariat baginda, beriltizam dengan sunnah baginda ketika sembunyi dan nyata, serta redha apa yang baginda putuskan dan patuh kepada baginda. Sesungguhnya ketaatan kepada baginda adalah ketaatan kepada Allah. Penderhakaan kepada baginda adalah penderhakaan kepada Allah. Ini kerana baginda adalah penyampai risalah Allah. Allah tidak mewafatkan baginda melainkan setelah disempurnakan agama dengan (kedatangan) baginda. Baginda menyampaikannya dengan terang dan nyata. Baginda meninggalkan umatnya di atas jalan lurus lagi terang, malamnya bagaikan siang. Tiada yang menyeleweng daripadanya. Selepas itu melainkan dia seorang yang binasa [9]. Syeikh Muhammad at-Tamimi menyebutkan:”Allah taala mengutuskannya untuk memberikan peringatan perbuatan syirik serta menyeru kepada tauhid. Dalilnya adalah firman-NYA: “Hai orang yang berselimut! Bangunlah, berilah peringatan. Agungkanlah robbmu! Bersihkanlah pakaianmu! Tinggalkan perbuatan kotor! Janganlah kamu memberi dengan tujuan memperoleh balasan yang lebih banyak, bersabarlah untuk (memenuhi perintah) robbmu [al-Muddatstsir, 96:1-7]. Makna ‘Qum, fa andzir’ adalah memberi peringatan terhadap perbuatan syirik serta menyeru kepada tauhid. ‘Wa robbuka fakabbir’ bermaksud agungkanlah Ia dengan tauhid.’Wa tsiyabaka fathohhir’ bermaksud bersihkanlah amal-amal perbuatanmu dari syirik. ‘Warrujza fahjur’ Ar-rujz adalah Al-ashnam (salah satu arti berhala). Yang dimaksud dengan menyingkir dari berhala adalah meninggalkannya serta berlepas diri dari ahli berhala”[10]. Kita juga wajib mempercayai peristiwa Isra’ dan Mikraj seperti yang dikhabarkan di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan baginda telah menyampaikan syariat Allah kepada umatnya tanpa tertinggal walau satu pun. Berkata Syeikh Muhammad al-Tamimi: “Setelah itu, beliau wafat,sedangkan agamanya tetap kekal. Inilah agama beliau; tiada suatu kebaikan pun melainkan telah beliau tunjukkan kepada umat dan tiada suatu keburukan pun melainkan telah beliau peringatkan kepada umat agar dijauhi. ...Allah mengutuskan beliau kepada umat manusia seluruhnya, serta mewajibkan ketaatan atas seluruh jin dan manusia. Dalilnya:”katakanlah wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kalian semua” [al-A’rof,7:158]. Melalui beliau, Allah menyempurnakan agama-Nya. Dalilnya ialah firman Allah:”Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku lengkapkan nikmatKu kepadamu,serta telah Aku ridhoi islam sebagai agama bagimu.”[al-Maidah,5:3][11].
Kita juga mesti beriman bahawa nabi yang terakhir dan tiada lagi nabi sesudahnya ialah nabi Muhammad bin Abdillah. Firman-Nya:”Bukanlah Muhammad itu menjadi bapa bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. Dan ingatlah Allah adalah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”[al-Ahzab,33:40]

[1]Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 39.

[2]al-Hujurat,49:6
[3]Ibn al-Salah, Ulum Al-hadith, Dar Al-Fikr Al-mu’asarah,Beirut,ms 239:Dinukil oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 49.

[4]Ibn Salah, Ulum Al-hadith, Dar Al-Fikr Al-mu’asarah,Beirut, ms 98:Dinukil oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 50.

[5] al-Hujurat,49:12

[6]Riwayat Muslim dalam mukaddimah shahihnya.

[7] Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 11-12.

[8]Petikan dari surah Al-ahzab,45-46.

[9]Al-hakimi,Alam Sunnah Almansyurah Li Ittiqad Al-taifah Al-najiah Al-mansurah,Wizarah Al-syuun Al-islamiyyah, Saudi, ms 15-16: Dinukil oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selangkah Kearah Memahami Al-sunnah,Karya Bestari Sdn. Bhd, 2005, ms 13.

[10]Syeikh Muhammad Bin Soleh Al-uthaimeen,Syarh Tsalatsatul Ushul,Susunan: Syeikh Fahd Bin Nashir Bin Ibrohim As-sulaiman,Edisi terjemahan (Syarah Tsalatsatul Ushul:mengenal Allah, Rasul dan Dinul Islam), Al-Qowwam, 2007, ms 197-198.

[11]Syeikh Muhammad Bin Soleh Al-uthaimeen,Syarh Tsalatsatul Ushul,Susunan: Syeikh Fahd Bin Nashir Bin Ibrohim As-sulaiman,Edisi terjemahan (Syarah Tsalatsatul Ushul:mengenal Allah, Rasul dan Dinul Islam), Al-Qowwam, 2007, ms 224-227.
-abu umar- 7.20pm,24/3/09

Wednesday, March 18, 2009

Monday, March 16, 2009

Asal Hukum Ibadah

oleh: Ustaz Rasyid (President IQ)
Tulisan ini adalah himpunan perkataan para ulama berhubung konsep ibadat di dalam Islam.

Ia merupakan jawapan terhadap kekeliruan segelintir manusia yang tidak dapat membezakan antara kaedah syarak dalam mu’amalat dengan kaedah syarak dalam ibadat.

Kesan daripada kekeliruan ini sungguh besar kerana ia antara faktor penyebab berlakunya rekaan dan tokok tambah di dalam amalan agama. Ia menyebabkan sering kedengaran ungkapan-ungkapan seperti :apa salahnya ?,tak ada dalil pun yang melarang ! ,tak apa kalau kita buat ibadat banyak-banyak, nanti di akhirat Allah pilihlah ! Mana yang betul Allah terima dan mana yang salah Allah tolak dan sebagainya.

Jika yang melaungkan atau memperjuangkan perkara ini terdiri daripada golongan juhhal (jahil agama), mungkin mudah untuk di atasi.

Tetapi malangnya, golongan yang mencanangkan perkara ini terdiri dari individu-individu yang bertitlekan lulusan agama atau menjawat jawatan yang dipandang tinggi oleh masyarakat di sudut agama.

Hasilnya, masyarakat yang jahil ini akan menyandarkan bulat-bulat amalan dan kepercayaan mereka kepada apa yang dinyatakan oleh ulama mereka. Mereka menyangka dengan menyandarkan amalan kepada para ulama sudah menjamin kesahihannya tanpa perlu lagi mengetahui dalil dan sandarannya. Mereka seakan-akan menyangka bahawa para ulama boleh sewenang-wenangnya menyatakan apa sahaja tentang agama. Mereka ini tidak mengetahui betapa para ulama muktabar membenci tokok tambah agama.

Justeru melalui kaedah yang disebutkan ini jelas menegaskan pendirian para ulama berhubung tindakan segelintir manusia yang sesuka hati menokok tambah dalam ibadat. Ternyata mereka tegas menolak rekaan dan inovasi dalam perkara yang telah ditetapkan oleh syariat.

Perkataan Ulama

Berikut adalah nukilan perkataan para ulama tentang kaedah melaksanakan ibadah di dalam Islam.

1- Perkataan al-Imam as-Subki seperti yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani as-Syafi’ie:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah tawaqquf (berhenti hingga ada dalil)”.(Fath al-Bari: 4/174)

2- Kata pengarang Nihayah al-Muhtaj dalam mazhab As-Syafi’ie:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah jika ia tidak dituntut, ia tidak berlaku”. (Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj:3/109)

3- Kata al-Bujairami as-Syafi‘ie menukilkan perkataan as-Syaubari:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah jika tidak dituntut, adalah terbatal”. (Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib: 3/497)

4- Kata Muhammad Bin Yusuf Bin Isa Atfisy al-Ibadi:

Terjemahan: “ Bahawasanya asal hukum di dalam ibadat adalah tidak membawa kepada wajib melainkan dengan adanya dalil”. (Syarh al-Nayl wa Syifa’ al-‘Alil: 7/211)

5- Kata as-Syeikh Muhammad Bin Muhammad:

Terjemahan: “Asal hukum dalam perkara bermanafaat ialah mubah (harus) manakal dalam perkara mudarat ialah haram. Maka berkata ramai ulama antaranya al-Imam al-Isnawi: dan ini hanya berlaku selepas disyariatkan dengan dalil-dalil syar‘ie, sedangkan sebelum warid (ada dalil), maka pilihan para ulama ialah waqf (berhenti pada dalil)”. (Al-Taqrir wa al-Tahbir: 3/198)

6- Kata pengarang kitab Syarah al-Bahjah al-Wardiyyah dalam Fiqh Syafi‘ie:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah tawqif (bersandarkan kepada dalil)”. (Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah: 4/150)

7- Kata as-Syeikh Abd. Rahman as-Sa‘di:

Terjemahan: “Asal hukum dalam ibadat adalah dilarang; maka tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya, manakala asal hukum di dalam muamalat dan kepenggunaan seluruhnya adalah harus; maka tidak diharamkan melainkan apa yang diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya”. (Taisir al-Latif al-Mannan fi Khulasah Tafsir al-Ahkam : 1/299)

8- Kata as-Syeikh Abd. Rahman Bin Muhammad al-Hanbali:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah apa yang disyariatkan. Dan setiap bid‘ah adalah kesesatan, inilah makna penyaksian bahwasanya Muhammad adalah rasul Allah”. (Hasyiah al-Usul al-Thalathah: 1/91)

9- Kata as-Syeikh Said Bin Ali al-Qahtani:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam semua perkara adalah harus; kerana Allah telah mencipta bagi hamba-Nya semua benda di atas muka bumi untuk mereka manfaatkannya, melainkan apa yang diharamkan oleh-Nya S.W.T. Asal hukum di dalam ibadat adalah dilarang dan bersandarkan dalil melainkan apa yang thabit di dalam syarak ia disyariatkan oleh Allah ‘azza wa jalla atau dari rasulullah S.A.W” (Fiqh al-Da‘wah fi Sahih al-Imam al-Bukhari: 4/195)

10- Perkataan Ibn Qayyim al-Jawziyyah:

Terjemahan: ““Asal hukum di dalam ibadat adalah batal melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya”. (Ahkam Ahli al-Dhimmah: 1/121)

11- Perkataan Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah:

Terjemahan: “Maka dengan membanci usul syariah, kita mengetahui bahawa ibadat-ibadat yang diwajibkan oleh Allah atau yang disukai oleh Allah tidak thabit (kewujudannya) melainkan dengan dalil syarak. Adapun adat, adalah kebiasaan manusia tentang dunia mereka daripada apa yang diperlukan oleh mereka, dan asal hukum di dalam hal ini adalah tidak dilarang, oleh itu tidak dilarang melainkan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Demikian itu kerana perintah dan larangan adalah syariat Allah dan ibadat tidak boleh tidak mestilah sesuatu yang diperintahkan, maka apa-apa yang tidak thabit bahawa ia diperintahkan bagaimana hendak dihukum bahawa ia adalah ibadah? Begitu juga sesuatu yang tidak thabit di dalam ibadat bahawa ia dilarang, bagaimana boleh dihukum bahawa ia dilarang?

Oleh demikian, Ahmad (Bin Hanbal) dan selain beliau dari kalangan Fuqaha’ ahli hadith berkata: Sesungguhnya asal hukum di dalam ibadat adalah tawqif (berdasarkan dalil), maka tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah Taala”.

(Majmu‘ Fatawi Ibn Taymiyyah: 6/452)

Sebenarnya banyak lagi perkataan yang boleh dinukilkan di sini, tetapi cukuplah dengan beberapa nama yang tertera bagi membuktikan bahawa kaedah yang sebenar dalam pengabdian sebenar kepada Allah ialah berdasarkan kepada dalil, bukan akal fikiran jauh sekali hawa nafsu atau agak-agak. Asas bagi kaedah yang dikemukakan ialah firman Allah S.W.T di dalam ayat 21 Surah as-Syura:

Terjemahan: “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Berkata al-Hafiz Ibn Kathir dalam menghuraikan ayat tersebut:

Terjemahan: “…mereka tidak mengikut apa yang disyariatkan oleh Allah kepadamu (Muhammad) daripada agama yang lurus. Sebaliknya mereka mengikut apa yang disyariatkan untuk mereka oleh para syaitan mereka dari kalangan jin dan manusia,….. daripada kesesatan dan kejahilan yang batil yang mereka ada-adakan dalam Jahiliyyah mereka, dalam bentuk menghalal dan mengharam, ibadat-ibadat yang batil (palsu) dan perkataan-perkataan yang rosak”.(Tafsir Ibn Kathir: 7/198)

Berkata pula Ibn Rajab al-Hanbali:

Terjemahan:

Amalan terbahagi kepada dua: ibadat dan muamalat. Adapun ibadat, apa-apa sahaja daripadanya yang keluar dari arahan Allah dan rasul-Nya secara seluruhnya, maka ia tertolak kepada pelakunya. Pelakunya termasuk di dalam maksud ayat :

Oleh itu barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu amalan yang tidak dijadikan oleh Allah dan rasul-Nya sebagai ibadat, maka amalan itu adalah batil dan tertolak kembali kepadanya. Ini sama seperti orang-orang yang solat di al-Bait (Masjidil Haram) secara bersiul-siul dan bertepuk tangan……sesungguhnya Nabi S.A.W telah melihat seorang lelaki yang berdiri di bawah panas mentari, lalu baginda bertanya tentangnya, dijawab kepada baginda: sesungguhnya dia (lelaki itu) bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh dan berpuasa. Nabi S.A.W mengarahkan dia supaya duduk dan berteduh, juga mengarahkannya meneruskan puasanya (H.R al-Bukhari, Abu Daud dan lain-lain). Maka Rasul tidak menjadikan perbuatan berdiri dan berpanas di bawah matahari itu sebagai suatu qurbah (perbuatan mendekatkan diri kepada Allah) yang perlu dipenuhi lantaran nazarnya.(Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam: 7/3)

Perhatikan pengajaran daripada perkataan Ibn Kathir dan Ibn Rajab:

1- Allah mencela orang-orang yang mengikut kesesatan dan kejahilan yang batil yang dianjurkan oleh para syaitan dari kalangan jin dan manusia.

2- Bukankah rasulullah telah menyatakan bahawa bid‘ah adalah kesesatan?

3- Bukankah sesuatu itu patut digelar kejahilan yang merosakkan apabila suatu kepercayaan atau pendapat atau amalan dipegang tanpa bersandar kepada dalil dan hujah?

4- Suatu amalan itu hanya diketahui ia adalah ibadat dengan nas daripada syarak, lalu apabila ia bukan daripadanya seakan-akan bermaksud membuat syariat sendiri? Siapa yang akan memberi pahala?

5- Rasulullah mengiktiraf puasa yang dilakukan oleh sahabat tersebut tetapi baginda menolak cara ibadat itu dilakukan. Ini sama seperti amalan berdoa, berzikir dan sebagainya, ia diterima syarak apabila menepati ajaran nabi, tetapi ditolak apabila caranya tidak diajarkan oleh baginda.

Wallahu a‘lam