Sunday, July 25, 2010

Tanggungjawab...

As-salamualaikum.

Lama tidak dikemaskini blog ini yang mungkin hampir bersawang. Tengah hari tadi pergi pesta buku dekat dewan roti (gelaran bagi dewan sri bernam kot-xingat nama betulnya). Satu buku aku beli yang memandangkan tiada bajet untuk pesta buku ini. Membina Jati Diri Gemilang oleh Dr. HM Tuan Iskandar (marasakan jati diri mula kendur). Selapas itu, pergi menikmati air jus jambu dan buahnya serta singgah di bank untuk mengeluarkan duit.

Sedang aku menunggu duit keluar dari mesin ATM, kakak di sebelah bertanya kepadaku “bang, hari ini berapa haribulan?”. “25 kak” jawab ringkasku, sudah menjadi kebiasaan biasa aku menegur atau berurusan dengan wanita yang tidak mengenalinya aku akan memanggilnya kakak tanda hormat walaupun dia lebih muda dariku. “esok, nak bayar yuran anak sekolah tapi duit tak masuk lagi (mungkin gajinya), orang janji nak bayar hutang pun belum masuk lagi” runggut kakak itu. “Dengan suami kakak tak bagi nafkah” dengan suara yang perlahan. “sabar je la kak” kataku.

Kesian aku fikirkan bila teringat kepada kakak itu lantaran mempunyai suami yang tidak bertanggungjawab keatas. Aku teringat kata-kata Syeikh Khalid Al-Qurasyi, yang mengajar aku semasa daurah di Maktab Jaliat Makkah Al-Mukaramah pada sesi taaruf. Beliau memberitahu mempunyai seorang isteri dan dia termasuk dari orang takut (khaifin). Lalu dia membacakan ayat ini

“...Nikahilah perempuan lain yang kamu senangi dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khawatir tidak berlaku adil maka nikahilah seorang sahaja...”(An-Nisa’,4:3)

Teringat pula dalam buku Syakhsiayyah Al-Muslim karangan As-Syeikh Dr. Muhammad Ali Al-Hashimi menyebutkan dalam Bab 1 Seorang muslim dengan tuhannya dalam subtopik bertanggungjawab atas kepimpinannya,

“ tidak ada kelalaian, kesalahan mahupun pelanggaran atas hak Allah SWT dan Rasul-Nya yang terjadi pada salah satu anggota keluarga muslim ini kecuali ia bertanggungjawab atasnya:

“Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab di atas yang dipimpinnya...” (HR Bukhari & Muslim)”
Katanya lagi orang yang tidak bertanggungjawab diatas kepimpinannya ialah orang yang lemah iman, agama dan kejantanannya.

Dalam Al-wajiz Panduan Fiqih Lengkap juga ada menyebut dalam kitab Al-Nikah dalam hak-hak isteri atas suami.

“Suami mesti memperlakukan isteri dengan cara yang baik kerana Allah berfirman :
“Dan bergaullah dengan mereka secara ma’ruf” (An-Nisa’,4:19)
Iaitu dengan memberi makan apabila dia juga makan dan memberikan dia pakaian apabila dia berpakaian. Mendidikanya jika takut dia akan derhaka dengan cara yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam mendidik isteri”

Sabda Nabi:

“Orang yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kalian ialah yang paling baik terhadap isterinya” (Hasan Shahih: HR Tirmizi)
Akhirnya perlakukanlah isteri dengan selayaknya dia seorang isteri kerana nanti isterilah yang akan menjadi penawar duka sang suami.

10.23pm, 25/7/2010-sungai nibong, sekincan.